‘Harga Dedak Naik Punca Harga Ayam Mahal’…

Kuantan, Pahang – Kenaikan harga runcit ayam segar di sekitar bandar raya ini berpunca daripada peningkatan kos bahan asas bagi penghasilan makanan ayam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang sudah mengesan kenaikan harga runcit ayam segar itu dalam pemeriksaan Rabu lalu dan tindakan awal sudah diambil terhadap pemborong dan pembekal ayam di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP negeri, Datuk Mark Ujin ketika dihubungi Getaran memaklumkan, pihaknya menjalankan pemeriksaan melalui Op Catut 8.0 Rantaian Pembekal Ayam, sebaik menerima aduan daripada pengguna.

“Hasil pemeriksaan dan soal selidik dijalankan, kebanyakan pemborong dan pembekal memberitahu kami bahawa kenaikan harga itu berpunca daripada peningkatan harga jagung serta kacang soya yang digunakan untuk membuat dedak atau makanan ayam.

“Jadi, ia (kenaikan harga) adalah rantaian dari pembekal makanan ayam, pengusaha ladang ternakan, pemborong dan seterusnya peniaga ayam secara runcit,” katanya.

Mark berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kepada pemborong dan pembekal ayam di 11 premis yang beroperasi di bandar raya Kuantan.

Beliau berkata, pemeriksaan dan analisis awal data diperoleh daripada pengeluar makanan ayam mendapati, berlaku kenaikan harga sehingga 33 peratus bagi 50 kilogram (kg) makanan ayam pedaging serta makanan anak ayam.

“Harga untuk 50 kg makanan ayam telur juga didapati meningkat 31 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Laporan mengenai kenaikan runcit ayam segar di bandar raya Kuantan daripada RM8 sebelum ini dan RM10.50 sekilogram sejak sebulan lalu, disiarkan media kelmarin.

Sementara itu, Mark ketika mengulas lanjut mengenai isu kenaikan harga ayam berkata, pegawai dan kakitangan KPDNHEP negeri masih menyiasat untuk mengesan punca kenaikan harga ayam segar, selain daripada dakwaan mengenai kenaikan kos penghasilan makanan ayam.

sumber: borakviral

PERHATIAN! Pihak Infomanafaat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page Media Portal Ya.

Jom sama2 join group ni.. Khas untuk sama2 kita share menu masing2..inshaAllah bermanfaat disana..TQ
Nak Join –> Klik Disini